Ramadhan : Kembalilah Kepada Allah...
Mon - 17 Aug
Written by Halu Satonaka
Sumber : Nazril Online
1. Marhaban Ya Ramadhan, Marhaban Shahru Siam, Nas alullaha Rahman, Rahmatan ‘Ala Dawam.. Saban hari penuh dengan kesibukan, diri agak alpa tentang kehadiran tetamu agung yang sentiasa dinantikan oleh umat Islam dari seluruh pelusuk negara. Tetamu yang sentiasa datang bertandang selama sebulan pada setiap tahun di setiap hati sanubari umat Islam, mudah-mudahan kita sudah bersedia menerima kehadiran tetamu agung ini. Samada kita bersedia atau tidak ianya tetap akan datang mengunjungi kita. Kehadirannya sangat bermakna kerana dijanjikan pelbagai anugerah bagi mereka yang bersedia menerima kunjungannya. Itulah bulan Ramadhan, tetamu istimewa yang dimaksudkan, sentiasa datang dengan janji-janji Allah Taala untuk ditunaikan kepada mereka yang mentaatiNya. Saya pernah menulis berkenaan persediaan untuk menyambutnya, oleh itu tidak perlulah diperjelaskan lagi, apa yang ada pada hari ini adalah kita telah menyiapkan persediaan tersebut.